Friday, 6 June 2014

Warga media sosial kesal gejala buli semakin berleluasa
GADIS PAILANG: Antara video yang mendapat perhatian pengguna media sosial.
KUALA LUMPUR:  Warga media sosial terkejut dengan beberapa video yang telah dimuat naik dan tersebar luas di media sosial yang menunjukkan aksi pelajar perempuan saling bertumbuk dan dalam aksi ganas.

Video pertama berdurasi 1 minit, 46 saat itu dipercayai dirakam menerusi telefon bimbit, bermula dengan dua pelajar perempuan yang berdiri menghadap antara satu sama lain dan seakan-akan sedar bahawa video mereka sedang dirakamkan.

Video kedua pula berdurasi 58 saat bermula dengan dua pelajar perempuan bertumbuk dan menarik rambut sambil kedengaran perkataan seperti "Aku benci engkau" dan "tadi kata hebat sangat nak gaduh."

Pada Isnin, video pergaduhan pelajar yang menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dengan kejam oleh sekumpulan pelajar perempuan lain turut muncul dan mendapat kritikan di media sosial. Video berkenaan dikenali sebagai 'Gadis Pailang'. 

Gejala buli menjadi tumpuan Buletin Awani 745. Pada masa yang sama, pengikut  @501Awani di Twitter memberi pelbagai reaksi tentang isu ini.

Berikut adalah beberapa tweet yang diterima:








Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan ketika dihubungi memaklumkan, pelajar terlibat dalam video 'Gadis Pailang' telah digantung sekolah susulan kejadian buli yang berlaku pada 25 April 2014.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintenden Lee Chong Chern turut berkata tiga suspek dalam video berkenaan akan didakwa.

“Ketiga-tiga dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Bagi suspek pertama ada tambahan  Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Kes ditetapkan untuk dibicara 23 Jun ini,” kata Lee kepada Astro AWANI.

Pada Buletin Awani 745, pelakon Sofi Jikan memohon maaf kepada junior-junior beliau di Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan kerana suatu ketika dulu beliau pernah menjadi pembuli.

Berkongsi pengalaman peribadi beliau di Buletin Awani 745 malam Khamis, pelakon KL Gangster itu akui lakonan watak jahatnya hidup kerana mempunyai pengalaman yang banyak ketika zaman sekolah.

“Saya paling kesal kerana tidak kenal junior-junior Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan. Saya nak minta maaf sekarang ini. Namun cara kita mengganas terkawal, tidak di luar batasan dan tidak masuk hospital.

“Kepada pembuli dan yang dibuli, pengalaman-pengalam itu bukan sejarah yang membunuh tapi menghidupkan kita” kata Sofi.

Kisah beliau turut mendapat respon di Twitter:




Sekiranya anda pernah jadi mangsa buli, bersediakah anda berkongsi pengalaman itu? Sekiranya anda pernah menangani kes buli, kami mengalu-alukan juga pengalaman anda.

Kirimkan maklumbalas anda tidak lebih daripada 200 patah perkataan kepada feedback@astroawani.com. Kami akan menyiarkan pandangan terpilih.

Thursday, 5 June 2014

JAIS lebih arif dalam urusan prosedur - Jamil Khir
JAIS lebih arif dalam urusan prosedur - Jamil Khir
JAMIL: Dari segi prosedur, JAIS lebih arif berdasarkan kuasa yang telah diberi mengikut peruntukan.
KUALA LUMPUR:  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memainkan peranan sewajarnya menjaga kepentingan agama Islam di negeri itu dalam melaksanakan tugasnya menyerbu sebuah majlis perkahwinan di kuil Hindu di Petaling Jaya baru-baru ini.

Katanya dari segi prosedur, JAIS lebih arif berdasarkan kuasa yang telah diberi mengikut peruntukan dalam Jadual 9 Perlembagaan Senarai 2, Islam di bawah kuasa majlis agama Islam negeri.
"Kita harap semua pihak berlapang dada dan serahkan tanggungjawab ini kepada pihak yang sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang menyifatkan serbuan JAIS ke majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid yang dijalankan di sebuah kuil di Petaling Jaya sebagai tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

JAIS mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya.
Jamil Khir berkata majlis agama Islam harus memainkan peranan untuk mempertahankan agama mengikut kuasa yang telah diperturunkan kepada mereka.

"Sebarang kegagalan (dalam hal seperti ini), mungkin majlis agama akan dilihat sebagai gagal melaksanakan tugas," katanya